Kerjaya politik Abdullah_bin_Ahmad_Badawi

Menyertai UMNO

Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.

Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.

Abdullah dikembalikan jawatannya dalam kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau pernah menjawat jawatan:

  • Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80)
  • Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81)
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84)
  • Menteri Pelajaran (1984-86)
  • Menteri Pertahanan (1986-87)
  • Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 - Januari 1999).

Sebagai Timbalan Perdana Menteri

Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman Kitab Iban.

Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Sebagai Perdana Menteri

Abdullah Badawi dengan George W. Bush

Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.

Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia. Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.

Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam. Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.

Rujukan

WikiPedia: Abdullah_bin_Ahmad_Badawi http://radaris.asia/p/Su/Chiang/ http://anwaribrahimblog.com/2008/01/29/daya-saing-... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www-cgi.cnn.com/ASIANOW/asiaweek/99/0122/cs... http://www.malaysiakini.com/news/130661 http://www.malaysiakini.com/news/130664 http://www.malaysiakini.com/news/74591 http://pgoh13.com/pm_chinese.html http://comment.straitstimes.com/showthread.php?t=1...